fb fb fb fb fb

Media Malaysia-Indonesia main peranan dalam isu antarabangsa

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menerima cenderahati daripada Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia Ashwad Ismail (kanan) selepas Majlis Makan Malam ISWAMI bersama Duta Besar Malaysia di Indonesia di sebuah hotel di Ancol malam Isnin/Foto BERNAMA

JAKARTA, 20 Februari- Media Malaysia dan Indonesia mempunyai peranan yang sama dalam isu peringkat antarabangsa dan rantau Asia Tenggara.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata antaranya dalam isu Rohingya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Palestin.

“Apa yang penting adalah penyampaian berita yang mempunyai fakta yang mana boleh menyumbang secara positif kepada perkembangan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia.

“Bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga kepada keamanan di rantau Asia Tenggara dan di peringkat antarabangsa.

“Melalui Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI), apabila timbul isu membabitkan sesebuah negara, wartawan dari Malaysia, Indonesia boleh membantu dalam menerangkan mengenai isu berkaitan dan ianya dapat menyelesaikan konflik yang berbangkit,” katanya.

Md Hasrin berkata demikian ketika berucap pada Majlis makan Malam ISWAMI Malaysia bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia di sebuah hotel di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Presiden ISWAMI Malaysia berkata peranan ISWAMI jelas selaras penubuhannya dengan memastikan kekuatan untuk membina kemakmuran bersama sebagai negara serumpun.

Katanya, apatah lagi situasi media hari ini berdepan dengan cabaran teknologi yang telah mengubah hampir setiap aspek kehidupan masa kini.

“Kita berharap selepas ini ramai wartawan dapat didedahkan dengan kekuatan yang boleh belajar dari kedua-dua negara sekali gus membina hubungan antara keluarga media Malaysia-Indonesia.

“Paling penting adalah kita membina hubungan antarabangsa yang positif ketika situasi dunia hari ini sedang berpecah. Kita berharap dapat mendedahkan lebih ramai wartawan Malaysia dengan situasi media Indonesia kerana pendedahan ini penting dalam usaha memantapkan lagi hubungan di rantau ASEAN,” katanya.

Dalam program Jejak Serumpun ISWAMI, seramai 15 orang wartawan berlepas ke Jakarta untuk menyingkap dan didedahkan dengan proses demokrasi ketiga terbesar di dunia Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024 Indonesia pada 14 Februari lalu.

Hari kemuncaknya delegasi media Malaysia bersama Ketua Pengarang dan Pengarang Urusan serta pemimpin tertinggi Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia pelbagai agensi hadir bagi memenuhi undangan sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 yang mengumpulkan lebih 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia.

ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun nusantara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI