
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Malaysia dan Jepun terus memperkukuh kerjasama dalam sektor peranti perubatan menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan pihak berkuasa Jepun.
- MoC galak pertukaran maklumat pengawalseliaan, kerjasama saintifik, latihan sumber manusia dan penyertaan dalam forum pengawalseliaan multilateral.
- Perjanjian mempercepat penilaian dan pendaftaran peranti serta memperkukuh kerangka pemantauan pascapasaran.
- Komitmen meneliti semula keperluan Sijil Jualan Bebas bagi memudahkan kawal selia dan perdagangan peranti perubatan.
- Sokongan Jepun terhadap pencalonan APEC CoE, bantuan bekalan serta pertemuan dengan syarikat inovatif untuk teknologi rawatan dan diagnostik.
MDA menerusi kenyataan memaklumkan, MoC itu bertujuan menggalakkan pertukaran maklumat serta kerjasama pengawalseliaan serta perkara-perkara berkaitan termasuk kerjasama saintifik, latihan sumber manusia dan kerjasama dalam forum pengawalseliaan pelbagai hala.
Pemeteraian tersebut dicapai bersempena dengan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dari 8 hingga 10 Jun lalu.
MoC ditandatangani oleh Ketua Eksekutif MDA, Ts. Dr. Muralitharan Paramasua, manakala Jepun diwakili Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan (MHLW) Jepun, Tuan Naoki Miyamoto.
Selain pemeteraian MoC, beberapa hasil utama turut dicapai menerusi sesi libat urus dua hala, antaranya ialah usaha memperkukuh kerjasama pengawalseliaan bagi mempercepatkan proses penilaian dan pendaftaran peranti perubatan di kedua-dua negara, di samping mengukuhkan kerangka pemantauan pascapasaran.
Selain itu, Jepun turut menyatakan sokongan secara prinsip terhadap pemeteraian Memorandum Kerjasama antara Global Harmonization Working Party (GHWP) dan International Medical Device Regulators Forum (IMDRF). Ia bagi memperkukuh usaha penyelarasan harmonisasi dalam kalangan ahli kedua-dua organisasi.
Justeru, Malaysia dan Jepun akan memberi komitmen bersama untuk meneliti semula keperluan berkaitan Sijil Jualan Bebas (Certificate of Free Sale – CFS) dalam usaha memudahkan urusan kawal selia dan perdagangan peranti perubatan.
Jepun juga menyatakan sokongan terhadap pencalonan Malaysia sebagai APEC Center of Excellence (CoE); selain akan membantu mengenal pasti pembekal peranti perubatan siap yang sedang mengalami kekurangan bekalan di Malaysia.
Semasa lawatan tersebut, MDA turut mengadakan pertemuan dengan dua syarikat peranti perubatan, iaitu Kaneka Medix Corporation dan SPHinX Inc., kini sedang berbincang untuk memperkenalkan teknologi inovatif ke Malaysia.
Kaneka Medix memberi tumpuan kepada peranti neurovaskular bagi rawatan invasif minimum, manakala SPHinX membangunkan teknologi diagnostik berasaskan polimer pintar bagi meningkatkan ketepatan pengesanan penyakit.
Kedua-dua teknologi ini mempunyai potensi besar untuk memperkukuh keupayaan rawatan dan diagnostik negara, di samping mewujudkan peluang kerjasama strategik dalam industri peranti perubatan tempatan.
Bagi pemain industri tempatan, MDA menerusi kenyataan sama menjelaskan kerjasama ini turut membuka laluan untuk memperluas penembusan ke pasaran antarabangsa.
“Dengan pemahaman yang lebih mendalam terhadap kerangka kawal selia Jepun yang diiktiraf di peringkat global, pengilang Malaysia akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan tersebut.