UM diyakini mampu berada kelompok 50 universiti terbaik dunia

Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Universiti Malaya (UM) diyakini mampu berada dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia pada tahun hadapan berbanding kedudukan ke-58 ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival Idea Universiti Malaya 2026 menghimpunkan lebih 1,000 penyelidik dan delegasi dari 90 negara.
  • Festival menjadi platform signifikan dan pengenalan kepada Festival of Ideas peringkat kebangsaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
  • Kemajuan bermula daripada idea, dipupuk melalui ilmu, menghasilkan penyelesaian yang memperbaiki kehidupan dan membentuk masyarakat.
  • UM dipuji kerana membudayakan kecemerlangan akademik, penyelidikan, pembangunan bakat holistik dan kreativiti mahasiswa dalam menganjurkan festival.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, meskipun ketika ini kedudukan itu adalah sesuatu yang cukup membanggakan namun beliau percaya universiti terbabit mampu bersaing dan mencapai sasaran yang lebih tinggi.

“Universiti Malaya berada dalam ranking antara 100 terbaik dunia. Yang terbaharu 58. Daripada kedudukan ke-70, 60 dan kini 58, mungkin tahun hadapan kita akan berada dalam kelompok 50 terbaik dunia,” katanya ketika merasmikan Festival Idea Universiti Malaya 2026 di sini hari ini.

Festival itu menghimpunkan lebih 1,000 penyelidik dan delegasi dari 90 negara.

Beliau berkata, dalam sejarah manusia, kemajuan tidak pernah bermula hanya dengan sumber semata-mata tetapi dengan idea yang lahir daripada perasaan ingin tahu, dipupuk melalui ilmu pengetahuan, dan menjadi penyelesaian yang memperbaiki kehidupan serta membentuk masyarakat.

Jelasnya, banyak perubahan besar dalam pendidikan dan kemajuan global beralih dari Jerman, kemudian ke Amerika Syarikat dan kini sedang beralih ke China.

“Sebab itu kita lihat bagaimana dengan penemuan-penemuan baru, inovasi-inovasi baru yang lahir sebenarnya daripada universiti-universiti ternama mereka dan menjadikan negara China yang begitu jauh ke hadapan secara perbandingan dari segi teknologi termaju yang ada di negara itu berbanding di dunia Barat pada hari ini,” katanya.

Mengulas mengenai Festival Idea Universiti Malaya 2026, Datuk Seri Dr. Zambry berkata, ia merupakan platform signifikan dan bertindak sebagai pengenalan kepada Festival of Ideas peringkat kebangsaan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kelak.

Beliau turut memuji komitmen universiti itu yang berjaya membudayakan kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan pembangunan bakat mahasiswa secara holistik, selain kagum dengan kreativiti pasukan mahasiswa yang mengendalikan keseluruhan persiapan festival berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.