fb fb fb fb fb

MBNPs sasar 90 Kelab Belia di setiap kampung menjelang 2026

Mohd Jeffry Hassan (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penaja Penubuhan Kelab Belia di Kayang, yang dihadiri lebih 50 belia kawasan Kayang

KAYANG, 26 Mei- Berkuat kuasa 1 Januari 2026, kepimpinan belia di negara ini bakal diterajui golongan berusia di bawah 30 tahun, berbanding 40 tahun ketika ini.

Sejajar dengan perubahan tersebut, Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Kelab Belia bagi setiap kawasan parlimen iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar, bagi memperkukuh kepimpinan baharu belia di negeri ini.

Presiden MBNPs, Mohd Jeffry Hassan berkata, sasaran utama adalah untuk menubuhkan 90 Kelab Belia di peringkat kampung melibatkan ketiga-tiga kawasan parlimen tersebut.

“Dengan adanya 90 Kelab Belia ini, kita jangka seramai 1,800 jawatankuasa penaja akan digerakkan untuk memimpin dan memperluaskan keahlian kelab belia di setiap kawasan,” katanya.

Penubuhan Kelab Belia di peringkat kampung dilihat sebagai platform penting untuk memastikan idea serta aspirasi golongan muda didengari. Selain itu, ia turut membuka peluang kepada belia untuk membincangkan pelbagai isu melibatkan pembangunan belia sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

MBNPs mahu belia dan beliawanis terus bergiat aktif serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan negara melalui penglibatan mereka dalam kelab-kelab belia di kawasan masing-masing. Ini sekali gus memberi peluang kepada mereka yang berumur 30 tahun ke bawah untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa depan.

Mohd Jeffry berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Penaja Penubuhan Kelab Belia di Kayang, yang dihadiri lebih 50 belia setempat.

Sebagai permulaan, sebanyak enam Kelab Belia akan diwujudkan di kawasan Kayang, melibatkan Kelab Belia Kampung Bukit Papan, Kampung Pak Lengah, Kampung Utan Ibus, Kampung Peladang, Taman Bukit Kubu dan Kampung Bahagia. Penubuhan ini bakal melibatkan seramai 120 ahli jawatankuasa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE