fb fb fb fb fb

Maulidur Rasul: Hayati nilai murni ditinggalkan Nabi Muhammad

Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 15 September- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul 1446 Hijrah kepada semua umat Islam.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Zahid mengajak umat Islam menghayati nilai-nilai murni yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, khususnya dalam kehidupan seharian.

"Sambutan Maulidur Rasul ini bukan hanya sekadar memperingati kelahiran Baginda, tetapi juga mengingatkan umat Islam untuk terus mencontohi keperibadian mulia serta memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat.

"Semoga semangat Maulidur Rasul ini mendorong kita semua untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan kemajuan, bukan hanya dalam kehidupan duniawi tetapi juga ukhrawi di samping beristiqamah dalam meneladani Baginda.

"Semoga kita dapat bersama-sama membina sebuah negara yang lebih sejahtera dan makmur. Insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula mengajak umat Islam untuk memperbanyak selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bagi menunjukkan rasa cinta kepada Baginda.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini, ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ adalah manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan hakiki dunia dan akhirat.

"Marilah kita bersama-sama merenung sunah dan ajaran Baginda dalam usaha menjadi umat yang diredai Allah SWT.

"Semoga kita sentiasa memantapkan keyakinan, meningkatkan kecintaan, mencontohi pelakuan dan menghayati al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, serta memperoleh syafaat Baginda di Padang Mahsyar kelak," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul.

Fahmi dalam hantarannya di platform X mengajak umat Islam meneladani akhlak mulia Baginda dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM