Maritim Malaysia lancar Op Guardian libat 11 agensi penguatkuasaan Pahang

Foto FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUANTAN, 14 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang melancarkan Op Guardian Bilangan 1/2026 di Jeti Jabatan Perikanan, Kuantan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu selama tiga hari melibatkan 11 agensi dan 65 pegawai serta anggota.
  • Op Guardian menyelaraskan operasi bersepadu menangani penyeludupan, pencerobohan perairan, imigresen, kastam, dadah dan pemerdagangan manusia.
  • Lima aset laut digerakkan; rondaan di sektor Sungai Kuantan hingga Tanjung Tembeling; orang ramai diminta melapor kecemasan.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, operasi bersepadu ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga hingga 16 April 2026 melibatkan kerjasama strategik dengan 11 agensi penguatkuasaan negeri dengan kekuatan keseluruhan seramai 65 orang pegawai dan anggota.

“Operasi ini dikoordinasi oleh Maritim Malaysia dengan kerjasama MKN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Selain itu, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)”, katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, Op Guardian merupakan platform penyelarasan operasi bersepadu antara agensi dalam menangani pelbagai aktiviti jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang termasuk penyeludupan, pencerobohan perairan, imigresen, kastam, penagihan dadah, pemerdagangan manusia serta ancaman keselamatan maritim yang lain.

“Sebanyak lima aset laut digerakkan dalam operasi ini membabitkan dua bot Maritim Malaysia, masing-masing satu daripada Pasukan Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia,” tambah beliau.

Sepanjang operasi dijalankan, rondaan bersepadu akan dilaksanakan di sektor-sektor yang telah dikenal pasti meliputi kawasan perairan sekitar Sungai Kuantan hingga ke Tanjung Tembeling, sebagai antara kawasan berisiko.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi Md Nor berharap, operasi ini mampu mencapai objektif serta memberi kesan langsung kepada tahap keselamatan perairan negeri ini.

Beliau dalam pada itu turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut, supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999.