fb fb fb fb fb

Maritim Kuala Perlis tahan dua bot tangkap siput retak seribu secara haram

KUALA PERLIS, 10 Mei- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Perlis menahan dua bot fiber di dua lokasi berbeza disyaki menangkap siput retak seribu secara haram di sekitar perairan Kuala Perlis.

Kejadian berlaku pada kedudukan kira-kira satu batu nautika daripada barat daya pantai Sungai Padang sekitar jam 11.15 pagi dan 11.30 pagi semalam.

Turut ditahan dua tekong dan dua kru warga tempatan berusia 18 hingga 48 tahun.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, penahanan tersebut dibuat oleh sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin menerusi Op Aman dan Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan negeri Perlis.

Hasil pemeriksaan mendapati, salah satu bot fiber terbabit tidak memiliki nombor perdaftaran manakala sebuah lagi bernombor pendaftaran PSS 1173.

Kedua-dua bot terbabit berpangkalan di Kuala Perlis dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) serta Seksyen 11 (3) (c).

Dua set sangkar besi berupa tangguk siput dan hasil laut siput jenis kerang seberat 25 kilogram dirampas ketika pemeriksaan dilakukan.

Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot, enjin, sangkar besi dan siput jenis kerang sekitar RM11,100.

Aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan berikutan Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak mengeluarkan sebarang jenis lesen bagi aktiviti penangkapan siput.

Lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput berkenaan hanya dikeluarkan di negeri Kedah dan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja.

 



Media Baharu