KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Malaysia dan United Kingdom komited untuk menjalinkan kerjasama sains global bagi memacu teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali gus mengukuhkan profil penyelidikan antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penggunaan teknologi AI memerlukan visi strategik yang mengimbangi inovasi dengan pertimbangan etika, seterusnya memastikan faedahnya boleh diakses oleh semua.
"Kebimbangan berhubung etika AI semakin mendapat perhatian di peringkat global dan di Malaysia, kerajaan mempertimbangkan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan AI sebagai langkah penting ke arah penggunaan teknologi ini secara beretika.
"Begitu juga tumpuan UK terhadap penyelidikan dan inisiatif etika AI seperti rangka kerja pengauditan yang bertanggungjawab menunjukkan usaha-usaha ini untuk memastikan bahawa teknologi AI mematuhi standard etika dan menghormati nilai-nilai masyarakat,"katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Kecerdasan Buatan (AI) United Kingdom dan Malaysia 2023 di ibu negara.
Persidangan dua hari itu menghimpunkan pakar, penyelidik dan peminat dari kedua-dua negara untuk membincangkan kemajuan, trend dan kejayaan terkini dalam bidang AI.