ABU DHABI, 14 November – Malaysia akan memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana melalui ruang kerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berpengalaman luas menangani cabaran bencana kompleks.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) UAE, yang mempunyai kepakaran dalam mengurus krisis merentasi pelbagai sektor.
"Paling penting ialah bagaimana sistem yang dilaksanakan menggunakan teknologi baharu. Kita mempunyai sistem amaran awal dengan kerjasama MET. Di sini, situasinya berbeza kerana UAE negara padang pasir, manakala kita negara beriklim monsun timur laut dan barat daya.
"Soalnya, bagaimana koordinasi dilakukan. Ada persamaan kerana kita memiliki jawatankuasa di peringkat nasional, negeri serta daerah, manakala mereka juga mempunyai sistem di peringkat persekutuan dan tujuh wilayah emirates serta beberapa daerah lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat ibu pejabat NCEMA di Abu Dhabi, sebahagian daripada lawatan kerja tujuh hari ke UAE.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut mencadangkan pelaksanaan program latihan melibatkan pasukan elit kedua-dua negara.
Pertemuan tertutup bersama Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei turut membincangkan kolaborasi dan pertukaran pengetahuan teknologi serta sistem terkini antara kedua-dua agensi.