
PUTRAJAYA, 11 Jun – Malaysia dijangka memeterai perjanjian kerjasama hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan pada 19 Jun ini yang menjadi antara usaha memperkukuh rantaian bekalan tenaga negara.
- Kerajaan mengukuhkan kerjasama tenaga dua hala dan pelbagai hala, termasuk Petronas dengan rakan kongsi Jepun JERA bagi perjanjian bekalan LNG.
- Krisis bekalan global menguji daya tahan ekonomi tetapi membuka peluang memperkukuh ketahanan tenaga jangka panjang negara.
- Pasaran menunjukkan LNG meningkat sederhana dan stabil; harga arang batu naik susulan peralihan dari gas; minyak Brent sedikit susut berikutan jangkaan bekalan OPEC+.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan juga terus mengukuhkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala, termasuk kerjasama tenaga antara Petronas dan rakan kongsi Jepun, JERA Co. Inc. melibatkan perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG).
“Ia juga merangkumi kerjasama melalui Asia Zero Emission Community (AZEC), Partnership on Wide Energy and Resources Resilience Asia (POWERR Asia) dan kerjasama tenaga dengan Australia,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Krisis Bekalan Global MTEN Bil 13/2026 di sini.
Tambah Akmal Nasrullah, krisis bekalan global yang berlaku ketika ini telah menguji daya tahan ekonomi Malaysia, pada masa sama turut membuka peluang kepada negara memperkukuh ketahanan jangka panjangnya.
“Dengan asas ekonomi yang kukuh, kedudukan tenaga strategik dan pengurusan ekonomi berpandukan data, Malaysia bukan sahaja mampu mengurus ketidaktentuan global, malah berada pada landasan untuk terus bergerak ke hadapan dengan lebih yakin,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa harga purata LNG meningkat sederhana sebanyak 4.6 peratus kepada AS$18.87 bagi setiap juta unit termal British (MMBtu) dalam tempoh 2 hingga 6 Jun lepas, berbanding AS$18.04 sebelumnya.
“Pergerakan ini masih dalam julat terkawal dan menunjukkan pasaran LNG global kekal stabil walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik.
“Bagaimanapun, harga arang batu menunjukkan peningkatan sebanyak 8.2 peratus kepada AS$142.62 satu tan metrik bagi tempoh 1 hingga 3 Jun 2026,” katanya.
Menurutnya, peningkatan harga arang batu global disebabkan persaingan dan lonjakan permintaan akibat peralihan penggunaan daripada gas kepada arang batu oleh penyedia utiliti antarabangsa bagi membendung kos penjanaan elektrik serta harga premium arang batu yang lebih tinggi.
Katanya, harga minyak mentah Brent pula mencatat purata AS$99.29 setong antara 1 hingga 5 Jun 2026, menurun 0.9 peratus berbanding AS$100.16 setong pada minggu sebelumnya.
“Penurunan ini didorong oleh sentimen pasaran yang lebih positif, termasuk jangkaan peningkatan pengeluaran oleh negara-negara OPEC+ dan usaha kerajaan mencari sumber bekalan alternatif,” jelasnya.