
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited meneruskan usaha membanteras aktiviti perniagaan yang dijalankan warga asing secara haram menerusi penguatkuasaan berterusan dan kerjasama erat dengan agensi berkaitan.
- DBKL hanya menangani isu lesen dan rampasan; tangkapan memerlukan koordinasi dan tindakan Kementerian Dalam Negeri.
- Tindakan penguatkuasaan perlu diketatkan dan dilaksanakan bersama kementerian lain untuk keberkesanan.
- Lebih 1,500 operasi penguatkuasaan dilaksanakan tahun ini melibatkan pasar dan kawasan tumpuan penjaja.
- Operasi bersepadu dan kerjasama pelbagai agensi akan dipertingkatkan bagi impak lebih menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, isu berkenaan sentiasa menjadi perhatian kerajaan dan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan keberkesanannya.
“DBKL hanya boleh menyelesaikan masalah lesen dan rampasan yang dijual. Namun, untuk tangkapan, ia memerlukan koordinasi dan tindakan oleh KDN. Untuk itu, bila ada tindakan penguatkuasaan, ia perlu bergerak dengan kementerian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taklimat Projek CSR Penaiktarafan Laluan Belakang (Backlane Upgrading Works) di Desa Sri Hartamas hari ini.
Hannah turut menegaskan bahawa lebih banyak operasi bersepadu perlu dilaksanakan bagi memastikan tindakan yang diambil lebih menyeluruh dan memberi impak yang lebih besar.
Terdahulu, DBKL memaklumkan lebih 1,500 operasi penguatkuasaan telah dijalankan sepanjang tahun ini membabitkan aktiviti perniagaan di pasar dan kawasan tumpuan penjaja di ibu negara.
Usaha itu akan terus dipertingkatkan selaras komitmen kerajaan untuk menangani isu peniaga warga asing secara lebih berkesan menerusi kerjasama pelbagai agensi.