fb fb fb fb fb

Malaysia, Timor-Leste perkukuh kerjasama politik, ekonomi dan ASEAN

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen kepada Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mahu kedua-dua negara mencapai kejayaan dalam politik, ekonomi dan hubungan antara rakyat termasuk dengan negara-negara ASEAN.

Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa negara mengulangi iltizam untuk mempermudah dan menyegerakan proses keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN terutama sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia tahun depan.

"Saya amat tersentuh mendengar kenyataan Gusmão terkait konflik di Gaza, Myanmar, Ukraine dan selainnya.

"Kebimbangan PM Gusmão yang mendambakan keamanan ternyata lahir dari hati nurani dan pergelutan panjangnya dalam memerdekakan Timor-Leste," katanya.

Dalam pada itu kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah terkait pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste untuk pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili.

"Kami turut saksikan pertukaran Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa yang akan memberikan kemudahan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua negara," katanya lagi.

Menurut Perdana Menteri, pertemuan dengan pemimpin dari Timor-Leste itu berjaya memperkukuh hubungan kedua-dua negara dan mempererat persahabatan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Mendoakan masa depan yang cemerlang untuk Malaysia dan Timor-Leste, insya-Allah," kata Anwar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI