PUTRAJAYA, 28 Julai – Malaysia akan terus bersuara lantang dan menggerakkan segala usaha dalam membela nasib rakyat Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha turut digerakkan secara aktif melalui saluran diplomatik dan bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
"Saya pernah membuat rayuan terbuka kepada semua pemimpin di seluruh dunia, termasuk secara khusus kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menyeru agar pembunuhan dihentikan serta bantuan ketenteraan dibenarkan masuk bagi menyelamatkan rakyat Palestin.
"Saya tidak kata telah melakukan segalanya. Namun, saya percaya masih banyak lagi yang boleh dan perlu saya lakukan," katanya pada Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana, di sini malam tadi.
Beliau turut menegaskan Malaysia merupakan antara negara terawal yang secara terbuka menggesa agar keanggotaan Israel dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) digantung atau ditamatkan.
Namun, jelas beliau meskipun tindakan itu mengundang tekanan antarabangsa yang hebat, pendirian Malaysia adalah jelas dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan, keadilan dan solidariti bersama rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar menyeru agar negara-negara Islam untuk memperkukuh kestabilan dalaman serta membina kekuatan ekonomi sebagai asas pengaruh dalam mencorak perubahan di peringkat global, sekali gus mampu membantu menyelesaikan konflik di Palestin.