Malaysia terima geran RM1.1 juta bagi pemuliharaan Tugu Negara

Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan Cate Dillon (dua dari kiri) dan Naib Canselor UMK Profesor Datuk Ir. Ts. Dr Arham Abdullah (dua dari kanan)/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 1 Sept – Usaha memelihara monumen bersejarah Tugu Negara mendapat suntikan baharu apabila Malaysia menerima geran pemuliharaan berjumlah RM1.1 juta daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Geran disalurkan menerusi Dana Duta Besar AS bagi Pemeliharaan Budaya di bawah Inisiatif Warisan AS-Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaan kedua-dua negara.
  • Cate Dillon berkata pembiayaan memelihara keutuhan monumen dan mengeratkan hubungan diplomatik melalui pertukaran ilmu pemuliharaan.
  • Projek restorasi 12 bulan melibatkan pakar Perkhidmatan Taman Negara AS, UMK dan Jabatan Warisan Negara siap sebelum sambutan kemerdekaan seterusnya.
  • Program memberi manfaat jangka panjang melalui latihan teknikal praktikal kepada lebih 50 pelajar konservasi dan profesional warisan tempatan.

Sumbangan yang disalurkan menerusi Dana Duta Besar AS bagi Pemeliharaan Budaya (AFCP) di bawah Inisiatif Warisan AS-Malaysia itu diberikan sempena ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara dan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.

Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan Cate Dillon berkata pembiayaan tersebut bukan sahaja bertujuan mengekalkan keutuhan monumen kebangsaan itu, malah mengeratkan hubungan diplomatik menerusi pertukaran ilmu.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Malaysia bagi memelihara warisan bersama ini. Langkah tersebut turut melibatkan pertukaran kepakaran strategik antara pakar pemuliharaan sejarah dari kedua-dua negara,” katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama, Kuasa Usaha Kedutaan AS ke Malaysia David H. Gamble Jr dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Profesor Datuk Ir. Ts. Dr Arham Abdullah.

Projek restorasi berdurasi 12 bulan ini dijangka siap sepenuhnya sebelum sambutan hari kemerdekaan tahun depan, melibatkan pakar dari Perkhidmatan Taman Negara AS, UMK serta Jabatan Warisan Negara.

Program ini turut memberi manfaat jangka panjang kepada industri warisan tempatan menerusi latihan teknikal praktikal kepada lebih 50 pelajar konservasi dan profesional tempatan.

Tugu Negara mempunyai nilai sejarah unik yang menghubungkan kedua-dua negara kerana ia direka oleh pengarca terkemuka AS Felix de Weldon yang juga pereka bentuk Memorial Perang Kor Marin AS di Arlington, Virginia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.