
KUALA LUMPUR, 1 September – Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI yang dinaikkan semula daripada 200 liter kepada 300 liter berkuat kuasa hari ini diakui membantu mengurangkan beban perbelanjaan bahan api pengguna.
- Perubahan itu memberi kesan langsung kepada perbelanjaan perjalanan harian, mengurangkan beban pengguna.
- Langkah disifatkan wajar; diharap subsidi membantu pengguna pulih dan kawal harga barang serta inflasi.
- Pemberian subsidi membolehkan kenderaan diesel digunakan semula selepas sebelum ini diketepikan kerana kos tinggi.
- Had kelayakan asas kini diselaras melibatkan BUDI95 dan BUDI Diesel, memberi manfaat kepada pengguna.
Bagi Zulhairy Johari, peningkatan itu memberi kesan langsung kepada perbelanjaan perjalanan hariannya terutama ke tempat kerja.
“Alhamdulillah, kenaikan kuota kepada 300 liter sedikit sebanyak dapat menampung penggunaan bulanan. Sebelum ini pun tiada lebihan, tetapi sekurang-kurangnya kenaikan kuota ini dapat membantu mengurangkan beban,” katanya.
Sementara itu, Saifullah Abdul Rahman menyifatkan langkah berkenaan sebagai wajar dan berharap manfaatnya dapat membantu pengguna berdepan tekanan kos sara hidup.
“Saya berharap dengan penambahan subsidi ini, golongan yang sebelum ini terjejas dapat kembali pulih.
“Dengan pelaksanaan langkah seperti ini, diharapkan harga barang dan kadar inflasi juga dapat dikawal dengan lebih baik selepas ini,” katanya.
Bagi Mohd Firdaus Azaman, kenaikan kuota itu membolehkannya kembali menggunakan kenderaan diesel yang sebelum ini terpaksa diketepikan kerana kos bahan api yang tinggi.
“Dengan pemberian subsidi, kereta diesel saya kini boleh digunakan kembali. Bagi saya, pemberian kuota subsidi ini bagus dan sepatutnya dilaksanakan lebih awal,” katanya.
Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI yang diselaras semula kepada 300 liter, melibatkan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).