Malaysia teliti teknologi Korea Selatan bagi pelaksanaan MLFF

Foto RTM

GANGNEUNG, 19 Oktober – Malaysia akan meneliti penggunaan teknologi digital dan sistem pengangkutan pintar di Korea Selatan sebagai rujukan bagi pelaksanaan sistem pembayaran tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan Malaysia dalam Kongres Dunia ITS 2026 membuka peluang mempelajari teknologi terkini untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan negara.
  • Teknologi seperti Internet Benda, kecerdasan buatan dan pengurusan data wajar diteliti bagi pelaksanaan sistem pengangkutan pintar.
  • Pelaksanaan sistem pengangkutan pintar memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi termasuk penguatkuasaan, keselamatan jalan raya dan mobiliti.
  • Perbincangan susulan dan pertemuan dua hala dijadual bagi menyelaraskan peranan agensi serta memperkukuh kerjasama strategik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penyertaan Malaysia dalam Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2026 di Gangneung, Korea Selatan, membuka peluang untuk mempelajari teknologi terkini yang dapat meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan negara.

Menurut beliau, penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan data wajar diteliti bagi memastikan pelaksanaan MLFF di Malaysia dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kita berharap apabila tiba masanya untuk melaksanakan MLFF di Malaysia, kita dapat belajar daripada teknologi dan pengalaman yang digunakan di sini. Sebab itu, penyertaan dalam persidangan ini amat penting, bukan sahaja melibatkan kementerian, tetapi juga JKR, syarikat konsesi lebuh raya dan pihak berkaitan yang lain,” katanya demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pembukaan Kongres Dunia ITS 2026 di Gangneung, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pelaksanaan sistem pengangkutan pintar memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi memandangkan sektor itu turut melibatkan aspek penguatkuasaan, keselamatan jalan raya dan mobiliti.

Sehubungan itu, perbincangan bersama agensi berkaitan akan diadakan selepas kepulangan delegasi Malaysia bagi menyelaraskan peranan serta memastikan integrasi teknologi dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kita perlu bekerjasama dan tidak boleh bergerak secara berasingan kerana pengangkutan dan mobiliti turut melibatkan agensi lain, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya bahagian trafik. Apabila pulang nanti, kita akan duduk bersama untuk membincangkan perkara ini.”

Kongres Dunia ITS 2026 berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober dengan tema Beyond Mobility, Connected World, menghimpunkan pemain industri, pakar teknologi dan delegasi antarabangsa bagi membincangkan inovasi serta masa depan sistem pengangkutan pintar.

Datuk Seri Alexander Nanta turut dijadual menyertai Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tinggi atas jemputan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan (MOLIT).

Pertemuan itu dijangka menjadi platform untuk bertukar pandangan dan memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan sistem pengangkutan yang lebih cekap, selamat dan mampan.

Pertermuan bilateral bersama Timbalan Menteri Kedua MOLIT, Jeong Eui-kyung serta delegasi dari Malaysia turut dijadual berlangsung selepas Mesyuarat Meja Bulat tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.