
SUNGAI SIPUT, 19 Oktober – Selepas gangguan gajah liar dilaporkan berlaku di kawasan kebun Bukit Bangkong, Chemor, Ipoh baru-baru ini, pekebun di Kampung Perlop 1, Sungai Siput Utara, turut berdepan masalah sama apabila haiwan berkenaan merosakkan tanaman dan menjejaskan sumber pendapatan mereka.
- Gangguan selama dua bulan, melibatkan 80.9 hektar dan menjejaskan 18 pekebun.
- Gajah memasuki penempatan, menimbulkan risiko keselamatan dan merosakkan tanaman termasuk pokok sawit.
- Kerugian dianggarkan RM16,000 hingga RM17,000, PERHILITAN memantau dan pekebun mahukan tindakan segera.
Gangguan yang berulang sejak dua bulan lalu itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 80.9 hektar dan menjejaskan 18 pekebun, termasuk pemilik kebun sawit.
Kebimbangan penduduk semakin meningkat apabila gajah liar berkenaan turut dikesan memasuki kawasan penempatan, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan penduduk.
Bagi pekebun, kerosakan tanaman bukan sahaja menjejaskan hasil kebun, malah mengancam sumber pendapatan utama mereka.
Menurut seorang pekebun, Mastura Yusuf, gajah liar berkenaan turut memasuki kawasan berhampiran rumahnya sehingga memusnahkan tanaman yang diusahakan.
“Gajah itu sampai ke depan rumah opah (panggilan beliau). Tanaman tebu dan sogem yang ditanam di hadapan rumah pun habis dimusnahkan. Itu opah tidak kisah sangat, tetapi yang lebih membimbangkan ialah pokok sawit kerana itulah sumber pendapatan kami di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pekebun, Muhammad Azlan Adenan berkata, kesan kerosakan yang ditinggalkan gajah liar boleh menyebabkan pokok sawit yang masih kecil mati, sekali gus mengakibatkan kerugian kepada pekebun.
“Kesan kerosakan akibat gajah liar ini jelas kelihatan, terutama apabila pokok sawit yang masih kecil ditarik sehingga rosak teruk. Pokok berkenaan boleh mati dan keadaan ini menyebabkan kerugian kepada pekebun.”
Mohd Faiz Ahmad yang juga pekebun pula berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi menangani gangguan berkenaan dan mengelakkan kerugian terus meningkat.
“Kerugian yang ditanggung dianggarkan mencecah RM16,000 hingga RM17,000, tidak termasuk kos masa, tenaga kerja dan racun untuk menguruskan kebun. Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu dan menyelesaikan masalah gangguan gajah liar ini dengan segera,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Dr. Pazil Abdul Patah, ketika dihubungi RTM mengesahkan pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk berhubung gangguan gajah liar berkenaan.
Menurut beliau, pemantauan berterusan sedang dilaksanakan bagi mengelakkan pekebun mengalami kerugian lebih besar, selain memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.