Reformasi birokrasi jimat RM2.5 bilion sejak 2024

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Lebih 1,000 projek reformasi bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang dilaksanakan sejak 2024 berjaya menghasilkan penjimatan kira-kira RM2.5 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memendekkan tempoh kelulusan bantuan dan semakan elaun; contohnya IPR Sabah dari 10 minggu ke satu minggu, semakan nelayan dari tujuh hari ke satu hari.
  • Memperkenalkan Pantau MADANI untuk menjejaki prestasi penggunaan peruntukan dan memantau pelaksanaan program dengan lebih berkesan.
  • Cabaran utama ialah proses perolehan termasuk tender yang mengambil masa tiga hingga enam bulan; fokus kepada memastikan peruntukan dibelanjakan.

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, reformasi itu merangkumi penambahbaikan proses penyampaian perkhidmatan awam bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memudahkan urusan rakyat.

Antara inisiatif dilaksanakan ialah memendekkan tempoh kelulusan bantuan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Sabah daripada 10 minggu kepada satu minggu, selain mempercepat semakan status nelayan bagi pembayaran elaun sara hidup daripada tujuh hari kepada satu hari.

“Daripada 2024, kita sekarang dah ada 1,000 lebih projek untuk mengurangkan kerenah birokrasi yang dapat penjimatan dalam RM2.5 bilion,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Bicara Naratif di Angkasapuri.

Mengulas pelaksanaan belanjawan kerajaan, Nurhisham berkata mekanisme pemantauan menerusi Pantau MADANI diperkenalkan bagi menjejaki prestasi penggunaan peruntukan dan memastikan pelaksanaan program dipantau dengan lebih berkesan.

Katanya, antara cabaran utama ialah proses perolehan, termasuk urusan tender yang boleh mengambil masa antara tiga hingga enam bulan selepas peruntukan disalurkan.

“Kecekapan pelaksanaan belanjawan bukan sekadar bergantung pada jumlah peruntukan diumumkan, tetapi turut melibatkan keupayaan memastikan wang berkenaan dibelanjakan supaya manfaatnya sampai kepada rakyat.

“Fokusnya patut kepada peruntukan yang diberikan tetapi tidak dibelanjakan. Itu lebih buruk kerana kalau tidak dibelanjakan, manfaatnya tidak sampai kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata reformasi proses pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan perlu diteruskan bagi memastikan penggunaan wang awam lebih cekap serta menyokong daya saing negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.