Malaysia tegas perjuang reformasi Majlis Keselamatan PBB

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Malaysia terus memainkan peranan aktif menggesa reformasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), termasuk usaha mengurangkan penyalahgunaan kuasa veto oleh lima anggota tetap badan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia konsisten lantang memperjuangkan reformasi penggunaan kuasa veto terhadap jenayah perang, genosid dan pencabulan hak asasi manusia.
  • Pembentukan gerakan baharu memerlukan kesepakatan besar kerana sukar mencabar atau meyakinkan lima anggota tetap lepaskan kuasa veto.
  • Terdapat sokongan meningkat terhadap keputusan Perhimpunan Agung, termasuk pengiktirafan Palestin; Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara sehaluan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Malaysia merupakan antara negara yang paling konsisten dan lantang memperjuangkan pembaharuan terhadap penggunaan kuasa veto, khususnya melibatkan jenayah perang, genosid dan pencabulan hak asasi manusia.

“Dan juga, untuk Malaysia membentuk satu gerakan atau kumpulan baharu, ia memerlukan kesepakatan yang besar kerana kuasa veto yang dimiliki oleh lima negara besar tersebut bukan mudah untuk dicabar, malah bukan mudah juga untuk mereka melepaskan kuasa itu.

“Bagaimanapun, kini sudah kelihatan beberapa buah negara mula menyokong beberapa keputusan Perhimpunan Agung PBB.

“Sebagai contoh, inisiatif mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara turut mendapat sokongan daripada banyak negara, termasuk beberapa negara di Eropah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat di sini.

Malaysia tegasnya akan terus bekerjasama dengan negara yang mempunyai pendirian sehaluan serta memperhalusi pelbagai pendekatan bagi mengurangkan penggunaan kuasa veto yang disifatkan sering menghalang penyelesaian terhadap konflik antarabangsa.