
KUALA LUMPUR, 12 September – Malaysia menawarkan kepakaran DNA bagi membantu mengenal pasti mangsa bencana di Nepal.
- Cadangan agar sampel DNA yang diambil dihantar ke Kuala Lumpur untuk dipadankan dengan waris rakyat Malaysia masih belum dikesan.
- Cadangan disampaikan melalui Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan termasuk kemungkinan menghantar pakar DNA ke Nepal.
- Langkah itu perlu kerana kekurangan kemudahan dan peralatan di Nepal bagi pemadanan DNA menyeluruh untuk mempercepat pengenalan mangsa.
Ini termasuk mencadangkan sampel DNA yang telah diambil pihak berkuasa negara itu dihantar ke Kuala Lumpur untuk proses pemadanan dengan waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata cadangan itu telah disampaikan kepada kerajaan Nepal menerusi Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
“Apa yang sedang kami rundingkan juga ialah untuk kita dapat menghantar pakar-pakar DNA untuk kita meneliti ataupun kita nak minta supaya mereka menghantar DNA-DNA yang telah mereka ambil, sampel-sampel daripada mangsa-mangsa dijumpai.
“Hantar ke sini supaya lebih mudah untuk kita mengenal ataupun membuat pemadanan DNA tersebut”, katanya demikian ketika ditemui media pada sesi lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, cadangan itu dibuat berikutan kekurangan kemudahan dan peralatan di Nepal bagi menjalankan proses pemadanan DNA secara menyeluruh.
Ujarnya, langkah berkenaan penting bagi mempercepatkan proses mengenal pasti rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana itu.
Beliau berkata Malaysia kini menunggu maklum balas kerajaan Nepal berhubung cadangan berkenaan.