
KUALA LUMPUR, 12 September – Pasukan SMART Malaysia yang dikerahkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bencana di Nepal dijangka pulang hari ini atau esok.
- Keputusan mengenai penghantaran pasukan SMART tambahan akan dibuat berdasarkan laporan dan penilaian ketua pasukan SMART serta NADMA.
- Operasi SAR di Nepal masih diteruskan; sekitar 5,000 individu masih tidak dikesan, menghadapi kesukaran akibat lumpur dan pasir tebal.
- Pasukan SMART meninggalkan semua dron kepada penyelamat Nepal; Malaysia bersedia pertimbangkan bantuan lanjut jika diperlukan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kepulangan pasukan berkenaan dibuat selepas membantu operasi SAR, manakala keputusan mengenai penghantaran pasukan SMART tambahan masih belum diputuskan.
Jelasnya, keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian dan laporan ketua pasukan SMART serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai keperluan operasi di Nepal.
“Biar ketua pasukan SMART atau NADMA memberikan laporan dan membuat penilaian mengenai langkah seterusnya yang perlu diambil, supaya kita tidak terburu-buru dan membuat keputusan secara tergesa-gesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sesi lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, operasi SAR di Nepal masih diteruskan dengan kira-kira 5,000 individu dilaporkan masih dalam kategori tidak dapat dikesan.
Usaha mencari mangsa berdepan kesukaran susulan keadaan tanah yang dipenuhi lumpur dan pasir tebal, sehingga menyebabkan rumah dan bangunan tertimbus sepenuhnya.
Datuk Seri Mohamad berkata, pasukan keselamatan dan penyelamat Nepal akan meneruskan operasi berkenaan, manakala Malaysia bersedia mempertimbangkan bantuan lanjut sekiranya diperlukan.
Beliau turut memaklumkan pasukan SMART Malaysia meninggalkan semua dron yang dibawa dari Malaysia kepada pasukan penyelamat Nepal untuk digunakan bagi membantu operasi SAR.