
PUTRAJAYA, 13 Mac – Usaha mengekalkan harga bahan api domestik pada paras sedia ada membawa implikasi kewangan yang besar kepada negara terutama dari segi kenaikan harga barangan.
- Kerajaan mengekalkan harga petrol dan diesel domestik walaupun subsidi bahan api meningkat.
- Subsidi petrol meningkat kepada RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion.
- Program BUDI95 diteruskan termasuk BUDI Individu, BUDI Agri dan sokongan untuk program komoditi.
- Konflik Asia Barat menyebabkan ketidakpastian harga minyak dunia; kerajaan menilai langkah jangka hadapan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagaimanapun berkata, kerajaan akan memastikan rakyat terus menerima bantuan melalui penyasaran subsidi RON95 bawah inisiatif BUDI95, selain mengekalkan harga petrol dan diesel walaupun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat
Menurut beliau, subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini
“Kita tidak menafikan bahawa Malaysia turut terkesan, terutamanya dari segi harga barangan kerana harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia dan kini telah meningkat dengan ketara.”
“Namun, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan rakyat terus mendapat sokongan. Alhamdulillah, kita dapat mengekalkan bantuan melalui program BUDI 95, termasuk BUDI Individu, BUDI Agri, dan program komoditi.”
“Langkah ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada rakyat, dan kerajaan akan terus memberi sokongan bagi meringankan beban mereka,’ ujar Datuk Seri Amir Hamzah pada Sidang Media Mesyuarat Kabinet di Putrajaya.
Pada masa laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 0.12 peratus kepada US$100.6 setong.
Datuk Seri Amir Hamzah juga berkata tempoh konflik di Asia Barat masih tidak dapat dipastikan dan kerajaan perlu meneliti langkah ke hadapan yang boleh diambil bagi mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata dalam keadaan global yang tidak menentu, kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah sendiri bagi menguruskan keadaan tersebut.
“Kita kena faham bahawa apabila kita mengekalkan harga bahan api, sudah tentu ia membawa implikasi kepada kerajaan.”
“Saya ingin beri gambaran tentang besarnya impak ini. Walaupun harga pasaran global meningkat dengan ketara, kerajaan tetap mengekalkan harga domestik.”
“Bagi situasi sekarang, kenaikan harga minyak menyebabkan subsidi petrol meningkat daripada kira-kira RM700 juta kepada RM2 bilion, manakala subsidi diesel pula naik sehingga RM1 bilion.”
“Kita mengekalkan harga kerana kita rasa penting rakyat terus menikmati kesinambungan bekalan dan harga yang stabil. Beban tambahan ini kita yakin mampu ditampung kerana pelaksanaan pelbagai reformasi fiskal dan konsolidasi fiskal sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.” katanya.
Konflik di Asia Barat bermula pada 28 Februari lepas telah menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu berikutan kebimbangan mengenai gangguan terhadap bekalan tenaga global.