Malaysia perlu perkukuh ketahanan ekonomi hadapi risiko konflik AS-Iran

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 April – Malaysia perlu memperkukuh ketahanan ekonomi bagi menghadapi risiko ketidaktentuan global susulan konflik berpanjangan antara Amerika Syarikat dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selat Hormuz kekal laluan kritikal; gangguan boleh menggugat pasaran tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa.
  • Kenaikan kos tenaga akan memberi kesan berantai kepada pengangkutan, logistik, pembuatan dan bekalan makanan, menambah tekanan kepada ekonomi domestik.
  • Malaysia perlu mempelbagaikan sumber tenaga, kukuhkan jaminan bekalan makanan dan tingkatkan daya tahan rantaian bekalan.
  • Diplomasi mesti diutamakan kerana penyelesaian aman penting untuk mengelakkan tekanan ekonomi dan sosial global menjadi lebih serius.

Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, meskipun gencatan senjata dua minggu yang dicapai pada 7 April membuka ruang diplomasi, keadaan semasa masih belum stabil.

Rundingan damai masih berdepan cabaran besar berikutan jurang tuntutan ketara antara kedua-dua pihak, khususnya membabitkan Selat Hormuz, sekatan ekonomi dan program nuklear Iran.

“Selat Hormuz kekal sebagai antara laluan paling kritikal dunia, merangkumi kira-kira 20 peratus penghantaran cecair petroleum global setiap hari.

“Sebarang gangguan di laluan itu boleh mencetuskan ketidaktentuan pasaran tenaga antarabangsa serta meningkatkan kos import bagi negara yang bergantung kepada perdagangan luar seperti Malaysia.

“Kenaikan kos tenaga akan memberi kesan berantai kepada sektor pengangkutan, logistik, pembuatan dan bekalan makanan, sekali gus menambah tekanan kepada ekonomi domestik,” katanya.

Sehubungan itu, Datuk Prof Dr Mohd Faiz menegaskan Malaysia perlu mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh jaminan bekalan makanan dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan bagi menghadapi kesan jangka panjang konflik.

Menurutnya, pendekatan diplomasi mesti terus diutamakan kerana penyelesaian damai amat penting untuk mengelakkan tekanan ekonomi dan sosial global daripada menjadi lebih serius.