fb fb fb fb fb

Malaysia perlu perkukuh daya tahan digital depani ancaman siber

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab

KUALA LUMPUR, 30 September – Malaysia perlu terus memperkukuh daya tahan digital dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata penganjuran Majlis Anugerah Keselamatan Siber Malaysia bukan sahaja mengiktiraf pencapaian cemerlang, malah menjadi wadah untuk menilai perjalanan kolektif dalam memperkukuh keselamatan digital negara.

“Dengan sokongan padu Kementerian Digital, sektor swasta dan akademia, keberkesanan operasi keselamatan siber Malaysia dapat terus dipertingkat.

“Selain itu, platform antarabangsa seperti CyberDSA 2025 akan menghimpunkan pembuat dasar, pengamal industri, penyelidik serta pakar keselamatan siber dari seluruh dunia. Ia diyakini dapat membuka ruang kerjasama dan perkongsian teknologi baharu dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut pada Isnin.

Beberapa kategori anugerah turut disampaikan termasuk Syarikat Paling Inovatif, Penyedia Perkhidmatan Tahun Ini, Projek Keselamatan Siber Tahun Ini dan Profesional Keselamatan Siber Tahun Ini.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf sumbangan besar pelbagai pihak dalam memperkukuh budaya keselamatan siber di peringkat tempatan dan global.

Sehubungan itu, Datuk Amirudin menyeru semua pihak agar kekal berwaspada serta membudayakan penglibatan aktif supaya Malaysia terus maju sebagai negara digital yang selamat, berdaya tahan dan dipercayai.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN