Malaysia, Pakistan meterai Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan

Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri Pakistan

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Malaysia dan Pakistan memeterai Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP), sekali gus membuka laluan kepada banduan warganegara kedua-dua negara menjalani baki hukuman di negara asal masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis disaksikan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif.
  • Disifatkan sebagai pencapaian penting memperkukuh kerjasama keselamatan dan perundangan antara Malaysia dan Pakistan.
  • Hasil lima siri rundingan sejak September 2025 melibatkan KDN, Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara dan PDRM.
  • Selaras dengan Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 (Akta 754), menambah instrumen perundangan hubungan dua hala.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, triti itu ditandatangani bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi, selepas kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif.

Majlis pemeteraian berlangsung di Pejabat Perdana Menteri Pakistan dan disaksikan sendiri Shehbaz.

“Pemeteraian ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Pakistan, khususnya dalam memperkukuh kerjasama keselamatan dan perundangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, triti berkenaan adalah hasil lima siri rundingan yang dilaksanakan sejak September 2025 dengan penglibatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rundingan itu kemudiannya membawa kepada persetujuan Jemaah Menteri pada 13 Mei lalu.

“Melalui ITOP, banduan warganegara Malaysia yang ditahan di Pakistan boleh dibawa pulang untuk menjalani baki hukuman di Malaysia, manakala banduan warganegara Pakistan di Malaysia boleh dipindahkan ke negara asal untuk tujuan yang sama,” ujarnya.

Datuk Seri Saifuddin berkata, mekanisme itu turut membolehkan banduan mengikuti program pemulihan dalam persekitaran yang lebih kondusif, selain bersesuaian dengan acuan, budaya dan keperluan negara masing-masing.

Beliau berkata, pemeteraian triti itu menambah satu lagi instrumen perundangan dalam hubungan Malaysia-Pakistan yang telah lama terjalin, selain mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat.

Triti berkenaan juga selaras dengan kerangka perundangan Malaysia menerusi Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 [Akta 754], yang menyediakan mekanisme bagi pemindahan banduan ke dan dari Malaysia.

Kerjasama berkaitan pemindahan banduan antara Malaysia dan Pakistan sebelum ini turut dibincangkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan keselamatan dan kebajikan rakyat kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.