KUCHING, 11 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keyakinan bahawa Malaysia memiliki potensi luar biasa untuk terus muncul sebagai negara berpengaruh di rantau ASEAN sekiranya kepimpinan dan rakyat memberi fokus bersama.
Beliau menekankan, kejayaan Malaysia memainkan peranan penting, termasuk membantu mendamaikan Thailand dengan Kemboja, adalah hasil kerjasama erat dalam kalangan negara serantau.
“Saya dapat lakukan ini kerana adanya pasukan kepimpinan Jemaah Menteri yang kuat, perancangan yang jelas serta hubungan baik dengan ketua-ketua negara ASEAN. Pemimpin Kemboja dan Thailand adalah sahabat yang memberi kepercayaan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti sempena lawatan rasmi beliau ke Sarawak, di sini malam ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan menteri kabinet negeri.
Menurut Datuk Seri Anwar, kepercayaan tersebut membuktikan bahawa Malaysia berupaya menjadi jambatan ke arah keamanan dan kerjasama serantau yang lebih kukuh.