KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Malaysia mampu menangani sebarang ancaman atau ugutan berhubung pendirian tegas dan lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pendirian Malaysia terhadap Palestin konsisten sejak sekian lama, berlandaskan prinsip kemanusiaan dan bukan semata-mata faktor agama.
"Soal barangkali adanya ancaman, ugutan terhadap kita apabila terlalu lantang membawakan naratif memperjuangkan rakyat Palestin, saya ingat ia satu perkara itu boleh ditangani kerana pendirian kita kukuh serta berasas," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin di Dewan Rakyat di sini mengenai sama ada pendirian pro-Palestin kerajaan boleh mengakibatkan Malaysia dipulaukan oleh negara lain daripada aspek ekonomi.
Sementara itu tegasnya, Malaysia mempunyai sokongan kukuh di pelbagai platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN, yang memperkukuh suara negara dalam membela rakyat Palestin.
Tagas beliau, dasar luar Malaysia terhadap Asia Barat kekal menyeluruh, berprinsip dan pragmatik, dengan menekankan pendekatan diplomatik serta kerjasama erat bersama negara berkepentingan seperti Jordan, Mesir, Turkiye dan Qatar bagi mencari penyelesaian damai.