Malaysia kukuhkan kedudukan sebagai hab acara perniagaan antarabangsa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran mesyuarat dan persidangan antarabangsa, dengan menduduki tempat ke-32 daripada 142 negara dalam ICCA GlobeWatch Country & City Rankings 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuala Lumpur Convention Centre berperanan penting memperkukuh kedudukan ibu negara sebagai destinasi pilihan acara perniagaan antarabangsa.
  • Pada 2025 KLCC terima 756,721 delegasi, termasuk 59,013 antarabangsa, memberi impak ekonomi dianggarkan RM1.5 bilion.
  • Untuk 2026, 19 persidangan antarabangsa disahkan, dijangka menarik lebih 22,600 delegasi dan menjana impak ekonomi kira-kira RM60 juta.
  • Persaingan global makin sengit; kerjasama dan inovasi berterusan penting bagi mengekalkan keyakinan penganjur acara antarabangsa.

Kuala Lumpur pula berada di kedudukan ke-29 dunia dengan 73 mesyuarat persatuan antarabangsa yang memenuhi kriteria International Congress and Convention Association (ICCA).

Pencapaian itu mencerminkan peningkatan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan persidangan berimpak tinggi yang menyumbang kepada pertukaran ilmu, kerjasama, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Timbalan Pengurus Besar Kuala Lumpur Convention Centre, Robert Hatton-Jones, berkata ranking berkenaan membuktikan keupayaan Malaysia menyediakan platform bertaraf dunia untuk menghimpunkan pakar, penyelidik, pembuat dasar dan pemimpin industri.

Menurutnya, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan ibu negara sebagai destinasi pilihan bagi acara perniagaan antarabangsa.

Pada 2025, KLCC menerima 756,721 delegasi, termasuk 59,013 delegasi antarabangsa, dengan impak ekonomi kepada negara dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion.

Pusat konvensyen itu turut menganjurkan 16 persidangan persatuan antarabangsa yang memenuhi kriteria ICCA.

Bagi 2026, sebanyak 19 persidangan persatuan antarabangsa telah disahkan untuk dianjurkan di KLCC, yang dijangka menarik lebih 22,600 delegasi dan menjana impak ekonomi kira-kira RM60 juta.

Antara acara utama ialah International Congress of the Asia Pacific Society of Infection Control (APSIC) 2026, Congress of the World Union of Wound Healing Societies (WUWHS) 2026 dan 16th Asian & Oceania Epilepsy Congress 2026.

Sementara itu, lebih 15 persidangan persatuan antarabangsa telah diperoleh bagi 2027, menunjukkan keyakinan berterusan penganjur global terhadap Kuala Lumpur sebagai destinasi acara perniagaan antarabangsa.

Robert berkata persaingan antara destinasi acara perniagaan global semakin sengit, justeru kerjasama dan inovasi berterusan penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi pilihan penganjur acara antarabangsa berimpak tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.