(Perdana Menteri dan Presiden Filipina ketika mengadakan mesyuarat dua hala
di Istana Malacanang/BERNAMA)
MANILA, 1 Mac- Malaysia juga komited dalam memainkan peranan penting proses keamanan di Mindanao.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga akan terus menawarkan bantuan kepada masyarakat Bangsamoro dan pelbagai program pembinaan keupayaan termasuk menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
"Saya telah menyakinkan Presiden Filipina dalam memainkan peranan penting membantu proses keamanan di Mindanao.
"Adalah menjadi tugas kita sebagai jiran yang baik untuk menyokong usaha ini, kita harus memanfaatkan semua kaedah dalam hubungan dua hala dan pelbagai hala untuk mencapainya.
"Proses damai (di Mindanao) ini harus berjaya kerana ia bukan sahaja mampu menjejaskan Filipina dan Malaysia tetapi juga seluruh rantau ini," katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Marcos di Istana Malacanang di sini.
Beliau berkata terdapat peluang besar yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara sekiranya usaha damai di Mindanao meraih kejayaan.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Ferdinand R Marcos Jr
semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Filipina di Istana Malacanang/BERNAMA)