KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Kerajaan menegaskan hanya jemaah haji yang benar-benar sihat dan layak akan dibenarkan menunaikan ibadah haji musim 1447 Hijrah, sejajar syarat baharu kesihatan yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia komited mematuhi syarat baharu itu yang bertujuan menjaga keselamatan, kelancaran dan kesempurnaan ibadah para dhuyufurrahman.
Justeru, Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib bagi memastikan tahap kesihatan setiap jemaah berada pada tahap terbaik.
Jelas beliau, penangguhan giliran haji bagi jemaah yang belum mencapai tahap kesihatan minimum bukan sekatan, sebaliknya peluang untuk memperbaiki kesihatan dan bersedia sepenuhnya.
Tabung Haji turut akan memastikan setiap penginapan jemaah di Mekah dan Madinah dilengkapi kemudahan klinik, farmasi serta pegawai perubatan bertauliah.
Manakala, kes serius pula akan dirujuk ke hospital Arab Saudi di bawah pemantauan pakar Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dengan 225 petugas perubatan Malaysia di Tanah Suci, beliau yakin para jemaah haji negara akan mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik, dari tanah air hingga ke Tanah Suci.