VIENTIANE, 11 Oktober- Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) segera melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024) yang menggariskan cadangan tiga fasa oleh negara kuasa besar itu bagi segera menamatkan peperangan di Gaza.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-12 yang dihadiri Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan sembilan kepimpinan utama negara anggota ASEAN yang lain.
Tegasnya pelaksanaan rancangan tiga fasa itu perlu dilaksanakan tanpa syarat tambahan bagi mengembalikan keamanan kepada rakyat Palestin.
Ia termasuk pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
Selain menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula wilayah itu.
Malaysia turut menyertai gesaan hebat oleh masyarakat antarabangsa untuk gencatan senjata segera bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan selanjutnya di Gaza dan Lubnan.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengetengahkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan ASEAN dan AS dalam menangani isu-isu tertunggak yang boleh membuka jalan kepada negara itu untuk menandatangani dan meratifikasi protokol Suruhanjaya Zon Bebas Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
BERITA BERKAITAN: