KUALA LUMPUR, 29 November - Pasukan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad mencatatkan pencapaian cemerlang apabila merangkul gelaran juara keseluruhan di peringkat akhir Pertandingan Antarabangsa Olimpiad Robot Dunia (WRO) 2025 di Singapura.
Sebanyak 10 daripada 16 pasukan Malaysia mendominasi pelbagai kategori dalam temasya yang berlangsung dari 26 hingga 28 November 2025.
Pencapaian terbesar Malaysia menerusi tiga kategori RoboMission dan tiga kategori Future Innovators berjaya meraih empat pingat emas dan empat pingat perak.
Kejayaan tersebut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kecemerlangan dalam pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dan robotik di peringkat global.
Acara WRO 2025 di Singapura merupakan edisi ke-22 yang menghimpunkan hampir 600 pasukan dari 91 buah negara seluruh dunia untuk bersaing dalam pelbagai cabaran bertemakan "The Future of Robots".
