
KUALA LUMPUR, 20 April – Pemain beregu wanita negara, M. Thinaah menyatakan keyakinan tinggi terhadap kesiapsiagaan skuad wanita menjelang saingan Piala Uber 2026 yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
- Walaupun Pearly Tan terpaksa menarik diri kerana kecederaan belakang, semangat berpasukan tetap kuat dan positif.
- Pemain muda menunjukkan perkembangan memberangsangkan, Thinaah yakin gandingan dengan Chong Jie Yu mampu beri impak positif.
- Seluruh pasukan fokus mempamerkan aksi terbaik tanpa tekanan, membina keserasian dan menikmati setiap detik.
Menurut Thinaah, meskipun ketiadaan pasangan tetapnya, Pearly Tan yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan belakang, semangat berpasukan dalam kalangan pemain tidak terjejas, malah terus berada pada tahap positif.
“Saya rasa sebab Piala Uber adalah acara berpasukan, memang sedih bila Pearly tiada bersama kami. Semua orang mahukan dia berada di sini dan dia sendiri pun mahu bersama pasukan. Dia ada mesej kepada saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama,” katanya.
Tambah Thinaah, skuad negara yang dibarisi ramai pemain muda menunjukkan perkembangan memberangsangkan sepanjang kem latihan dan berada pada landasan terbaik menjelang kejohanan itu.
“Setakat beberapa hari ini, ia adalah permulaan yang sangat baik untuk kami, khususnya pasukan wanita. Ini satu perkara positif dan kami harap dapat bawa momentum ini ke Piala Uber nanti. Tunggu kami, kami datang untuk berjuang dan berharap dapat kembali dengan keputusan yang baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Thinaah optimis gandingannya bersama pemain muda, Chong Jie Yu mampu memberi impak positif kepada pasukan.
“Sudah tentu saya boleh bantu dia dan saya nampak dia sangat teruja serta bermotivasi untuk berada dalam pasukan ini. Kami sangat gembira memilikinya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Thinaah menegaskan seluruh pasukan wanita kini memberi fokus untuk mempamerkan aksi terbaik tanpa sebarang tekanan.
“Ia bukan hanya untuk dia, tetapi untuk seluruh pasukan. Kami mahu beri yang terbaik, tiada penyesalan di gelanggang, bermain dengan corak sendiri dan menikmati setiap detik. Setakat ini semuanya berada pada tahap positif dan kami masih membina keserasian serta semangat berpasukan,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pememilih pemain muda, Chong Jie Yu untuk bergandingan bersama Thinaah dalam acara beregu wanita bagi menggantikan Pearly Tan dalam kempen Piala Uber 2026.