
BAYAN LEPAS, 20 April– Persiapan bagi temasya Sukan SEA 2027 kini berada pada landasan yang tepat dengan pemantauan rapi oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
- Persediaan setakat ini memberangsangkan meskipun terlalu awal untuk penilaian peratusan kesiapan.
- Enam acara di Pulau Pinang disahkan, termasuk sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, ping pong serta floorball.
- Semua acara di venue tertutup memudahkan urusan logistik dan mengurangkan risiko cuaca; fokus kini pada promosi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol memaklumkan bahawa prestasi persediaan setakat ini amat memberangsangkan, meskipun masih terlalu awal untuk membuat penilaian secara menyeluruh dari segi peratusan fizikal.
Bagi kluster Pulau Pinang, sebanyak enam acara sukan telah disahkan akan berlangsung di negeri berkenaan merangkumi sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, ping pong serta floorball.
Kesemua acara tersebut dijadualkan berlangsung di venue tertutup, sekali gus memudahkan urusan logistik dan mengurangkan risiko gangguan cuaca.
“Semuanya kini teratur dan berjalan dengan lancar. Dari segi peratusan (kesiapan), saya tidak dapat memberikan angka tepat buat masa ini, namun yang pasti prosesnya berjalan baik.”
“Di Pulau Pinang, semua acara akan dijalankan di venue tertutup, jadi tiada masalah besar yang dihadapi. Fokus kita sekarang hanyalah dari segi promosi,” kata Mordi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Spice Arena, salah satu venue untuk Sukan SEA di Pulau Pinang.
Malaysia bakal menganjurkan Sukan SEA 2027 bermula 18 hingga 29 September depan melibatkan 38 jenis sukan secara keseluruhan.
Penganjuran edisi kali ini akan dibahagikan kepada empat kluster utama iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.