Tangguh penganjuran SUKMA Selangor, KBS akan dapatkan pandangan kerajaan negeri

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 April – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan pihaknya akan mendapatkan pandangan Kerajaan Negeri Selangor, susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung cadangan penangguhan penganjuran temasya Sukan Malaysia XXII (SUKMA) Selangor 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri menjunjung titah Sultan yang dizahirkan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor.
  • Baginda menitahkan keprihatinan terhadap krisis tenaga global dan implikasinya kepada ekonomi negara.
  • Keperluan diambil kira untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
  • Selepas menerima maklum balas, mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 akan dipanggil untuk perbincangan menyeluruh.

Beliau menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menjunjung titah baginda yang dizahirkan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 hari ini.

”Ini merupakan amanat Tuanku atas keprihatinan baginda terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku dan kesannya terhadap ekonomi negara, di samping mengambil kira keperluan untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

”Sehubungan itu, saya akan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah, berhubung perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas menerima maklum balas tersebut, satu mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 akan dipanggil bagi membincangkan perkara itu secara terperinci dan menyeluruh.