
TEHRAN, 20 April -Iran menegaskan tiada rancangan bagi menyertai pusingan baharu rundingan dengan Amerika Syarikat pada Isnin.
- Jurucakap Iran mengkritik tindakan Washington, mendakwa langkah sekatan laut dan rampasan kapal melanggar gencatan senjata.
- Iran mendakwa gencatan senjata dua minggu dilanggar dan memberi amaran akan bertindak balas.
- Trump menuduh Tehran menutup Selat Hormuz, hantar perunding ke Pakistan, serta mengugut serang infrastruktur tenaga Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, berkata tiada keputusan dibuat mengenai rundingan seterusnya.
“Kami tiada rancangan untuk pusingan rundingan seterusnya, dan tiada keputusan dibuat setakat ini,” katanya.
Beliau turut mengkritik tindakan Washington yang disifatkan tidak menunjukkan kesungguhan dalam proses diplomatik, sambil menyifatkan sekatan laut dan rampasan kapal sebagai pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata.
Iran mendakwa tindakan tersebut melanggar tempoh gencatan senjata dua minggu yang dijadual berakhir pada Selasa, dan memberi amaran akan bertindak balas.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,menuduh Tehran melanggar perjanjian dengan menutup hampir sepenuhnya Selat Hormuz, laluan penting perdagangan minyak dunia.
Trump, berkata beliau akan menghantar pasukan perunding ke Pakistan bagi membincangkan penamatan perang.
Pada masa sama, beliau mengulangi ancaman untuk menyerang infrastruktur tenaga Iran sekiranya tiada persetujuan dicapai.
Rundingan awal di Islamabad awal bulan ini berakhir tanpa sebarang perjanjian, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar gencatan senjata.
Ketegangan semakin memuncak selepas Amerika Syarikat merampas sebuah kapal kargo Iran pada awal Isnin, yang menurut Trump cuba mengelak sekatan laut AS. – AFP