fb fb fb fb fb

Malaysia cadang tubuh Gerakan Satu ASEAN SME, perkukuh daya saing

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) menyempurnakan gimik perasmian SME Venture@ASEAN 2025 di sini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Oktober -Gerakan Satu ASEAN SME perlu diwujudkan bagi memperkukuh kerjasama dan meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu akan menjadi pemangkin kepada integrasi ekonomi ASEAN dengan menghubungkan usahawan, pelabur dan inovator di bawah satu rangkaian strategik.

“Biarlah gerakan ini menjadi denyut nadi ekonomi ASEAN, pemangkin yang memperkasa rakyat, mengukuhkan daya tahan dan membawa rantau ini ke sempadan pertumbuhan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SME Venture @ ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, SME Venture @ ASEAN 2025 bukan sekadar pameran keusahawanan, sebaliknya deklarasi bahawa Malaysia bersedia memimpin sebagai negara teras dalam ekosistem perdagangan ASEAN.

Katanya, ASEAN kini memiliki pasaran dinamik dengan lebih 680 juta penduduk dan menempatkan 70 juta PKS yang menyumbang hampir 45 peratus kepada KDNK rantau ini serta 85 peratus guna tenaga.

Namun, sumbangan PKS kepada eksport ASEAN masih rendah sekitar 18 peratus.

Ia menunjukkan ruang besar untuk diterokai menerusi kerjasama serantau, pemindahan teknologi dan penyertaan lebih aktif dalam rantaian bekalan global.

“Kita mesti membantu PKS menembusi pasaran antarabangsa, meningkatkan keupayaan digital serta memanfaatkan potensi perdagangan halal dan sektor teknologi tinggi,” katanya.

Tambah beliau, Gerakan Satu ASEAN SME juga akan memperkukuh kerjasama dalam bidang pembiayaan, mobiliti bakat dan inovasi, bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan tanpa sempadan.

“Dunia sudah berubah, dan kejayaan PKS tidak boleh dicapai secara bersendirian.

Ia memerlukan komitmen bersama kerajaan, industri dan usahawan seluruh rantau,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN yang dibincangkan bersama Setiausaha Agung ASEAN di Phnom Penh baru-baru ini.

Ia bagi menyeragamkan pensijilan halal dan memperluas akses pasaran serantau.

“Inisiatif ini menyasarkan lebih 240 juta pengguna Muslim di ASEAN, sekali gus membuka peluang besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” jelasnya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN