Dua jemaah haji Malaysia stabil

Foto RTM

MEKAH, 26 April – Dua jemaah haji Malaysia yang dimasukkan ke hospital di Arab Saudi bagi menerima rawatan susulan masalah kesihatan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan di bawah pemantauan rapi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang jemaah lelaki 72 tahun dirawat di Makkah, seorang wanita 65 tahun menerima rawatan di Madinah.
  • Kedua-duanya mengalami masalah berkaitan serangan jantung ringan dan sesak nafas.
  • Ketua rombongan mengingatkan jemaah berjaga kerana suhu dijangka 33 hingga 38 darjah Celsius, paling panas 10 pagi hingga 4 petang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata kes tersebut membabitkan seorang jemaah lelaki berusia 72 tahun yang dirawat di sebuah hospital di Makkah, manakala seorang jemaah wanita berusia 65 tahun menerima rawatan di Madinah.

Beliau memaklumkan kedua-dua jemaah berkenaan mengalami masalah kesihatan berkaitan serangan jantung ringan dan sesak nafas.

“Setakat ini kita menerima makluman dua jemaah dimasukkan ke hospital, namun keadaan mereka stabil dan sedang menerima rawatan lanjut. Alhamdulillah, kedua-duanya berada dalam pemantauan rapi,” katanya pada sidang media mingguan operasi haji di sini hari ini.

Mengulas mengenai situasi semasa, Mohd Hisham berkata tahap kesihatan keseluruhan jemaah haji Malaysia yang lain berada dalam keadaan baik dan mereka kini sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran di Tanah Suci.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan para jemaah supaya sentiasa berwaspada memandangkan cuaca dijangka menjadi lebih terik menjelang kemuncak ibadah haji iaitu hari wukuf di Arafah nanti.

Menurutnya, suhu semasa dianggarkan antara 33 hingga 38 darjah Celsius, dengan cuaca paling panas direkodkan antara jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Buat masa ini cuaca panas lebih dirasai pada waktu tengah hari. Namun di luar tempoh itu jemaah masih boleh bergerak seperti biasa.

“Kita sentiasa mengingatkan mereka supaya menjaga diri kerana suhu dijangka terus meningkat,” katanya.