KAHERAH, 23 Oktober - Malaysia akan menganjurkan Sidang Islam Serantau pada awal tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang itu bagi memanfaatkan kesudian Sheikh Al Azhar, Profesor Dr Ahmad Al-Tayyeb untuk berkunjung ke Malaysia.
"Malaysia akan mengambil inisiatif bersama dengan Sheikul Azhar, jadi maknanya biar kerjasama langsung Universiti dengan Malaysia. Jadi saya tugaskan Menteri Agama di JAKIM bantu menyelaraskan," kata Anwar.
Terdahulu, Perdana Menteri melakukan kunjungan hormat ke atas Sheikh Al Azhar bagi membincangkan hal ehwal agama dan juga konflik di Gaza.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut membincangkan isu 60 mahasiswa dari Pahang, Malaysia yang terkandas di Mesir.
"Ada isu yang terkait kerana 60 mahasiswa dari Pahang yang tersadai di sini tidak boleh masuk ikut proses kerana mereka tidak ikut saluran yang diputuskan oleh Universiti Al Azhar ialah kesemuanya itu melalui proses kedutaan.
"Walaubagaimanapun saya telah kemukakan rayuan dan Sheikul Azhar telah memberikan arahan persetujuan supaya 60 anak-anak Pahang akan diuruskan segera mungkin dan Rektor Universiti Al-Azhar tadi telah beri jaminan. Saya juga telah beri jaminan pada mereka bahawa hal sedemikian tidak akan berlaku lagi, Insya-Allah dan semua negeri diharap mematuhi peraturan sedia ada kerana ini syarat yang ditetapkan kerajaan Mesir dan juga Universiti Al-Azhar.