
GEORGE TOWN, 12 Mei – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan langkah menyalurkan maklumat ramalan hari tanpa hujan sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cuaca panas ekstrem akibat fenomena El Nino.
- Memastikan agensi berkaitan mempunyai masa mencukupi untuk menggerakkan pelan mitigasi bencana secara lebih berkesan.
- Pemerkasaan penggunaan model kualiti udara pelbagai skala (CMAQ) untuk pengesanan risiko jerebu lebih tepat.
- Unit Pengurusan Bencana anjur bengkel serta latihan simulasi; mangsa berkelayakan bantuan Tabung Bencana Negeri RM200 hingga RM10,000.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo menjelaskan, perkara itu bertujuan memastikan semua agensi berkaitan mempunyai tempoh masa mencukupi untuk menggerakkan pelan mitigasi bencana dengan lebih berkesan.
Selain pemantauan cuaca, penggunaan teknologi pemodelan kualiti udara pelbagai skala (CMAQ) turut diperkasakan bagi mengesan risiko jerebu secara lebih tepat.
“Kerajaan Negeri bersama Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengambil langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi cuaca panas ekstrem.
“Ini termasuk memberikan makluman ramalan hari tanpa hujan sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal kepada semua agensi berkaitan, selain mengeluarkan ramalan jerebu melalui sistem CMAQ. Di samping itu, Unit Pengurusan Bencana Pulau Pinang turut menganjurkan bengkel serta latihan simulasi bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sungai Dua Muhammad Fauzi Yusoff pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Dari aspek kebajikan, mangsa bencana layak menerima bantuan kewangan Tabung Bencana Negeri antara RM200 hingga RM10,000 mengikut tahap kerosakan dialami.