SEBERANG JAYA, 22 Ogos - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan memainkan peranan konstrutif dalam membangunkan agenda pengajian Islam yang merangkumi sektor keperluan seperti kejuruteraan dan perakaunan.
Ke arah itu, MAINPP mengenalpasti hala tuju tadbir urus yang lebih sistematik dalam memperkasakan pendidikan Islam serta keperluan pasaran yang semakin meningkat di peringkat negeri.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata antara usaha penting ialah memposisikan semula Bahagian Institusi dan Pendidikan Zakat Pulau Pinang di bawah MAINPP bagi mewujudkan program yang mempunyai nilai impak tinggi pada masa depan untuk umat Islam di negeri itu.
"Selain daripada itu, kita komited dalam agenda pembangunan Islam negeri Pulau Pinang 2030 dengan meletakkan pembangunan pendidikan sebagai teras yang kedua setelah kita membangunkan sumber sosio ekonomi menerusi zakat ini, kita perlukan kutipan zakat yang tinggi di negeri Pulau Pinang," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dermasiswa Pengajian Tinggi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2025, di sini.
Melalui penyusunan dan penstrukturan semula tersebut, ia memberi manfaat kepada 5,504 penerima menerusi Skim Dermasiswa bagi pelajar yang menyambung pengajian ke Politeknik dan Skim Permulaan Pelajar TIngkatan Enam rendah.
Pada majlis sama, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang mengumumkan peruntukan agihan Skim Dermasiswa Pengajian Tinggi sebanyak RM20 juta dengan peningkatan jumlah agihan dianggarkan sebanyak RM500,000 berbanding jumlah tahun sebelumnya.