
GUA MUSANG, 14 Mei– Seorang lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia dipercayai diserang sekumpulan gajah liar di kawasan tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa, pagi tadi.
- Siasatan awal menemui kesan tapak kaki dan najis gajah di lokasi, menguatkan kemungkinan serangan haiwan liar.
- Polis mengesahkan tiada unsur jenayah; mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca.
- Polis menasihatkan penduduk berhati-hati dan mengelakkan memasuki kawasan habitat hidupan liar terutama gajah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.38 pagi.
Pasukan polis dari Balai Polis Paloh 2 kemudian dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Mangsa merupakan lelaki Melayu berusia 55 tahun.
Siasatan awal mendapati terdapat kesan tapak kaki dan najis gajah di sekitar lokasi sekali gus menguatkan kemungkinan mangsa diserang haiwan liar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Polis turut menasihatkan penduduk berhampiran supaya lebih berwaspada serta mengelakkan memasuki kawasan habitat hidupan liar terutama gajah.