Pelajar universiti ditahan miliki bahan pornografi

Foto hiasan

KOTA SAMARAHAN, 14 Mei– Seorang pelajar universiti awam berusia 21 tahun ditahan polis kerana disyaki memiliki bahan pornografi termasuk melibatkan kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan telefon dan komputer riba menemui bahan pornografi kanak-kanak dan dewasa.
  • Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mula menonton video lucah sejak lima tahun lalu.
  • Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas laporan Makmal Forensik, disiasat di bawah Seksyen 10 Akta 2017 dan Seksyen 292.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William berkata, suspek yang merupakan pelajar tahun ketiga itu ditahan di sebuah hostel di sini, petang semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit dan komputer riba suspek mendapati terdapat bahan pornografi kanak-kanak dan dewasa disimpan dalam peranti berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mula terlibat dengan aktiviti menonton video lucah sejak lima tahun lalu,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menurut beliau, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas laporan daripada Makmal Forensik Cheras diperoleh bagi pertuduhan.

Kes disiasat bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan.