fb fb fb fb fb

LRA Bukit Pinang Fasa 1, LRA Jenun Lama mulakan operasi penuh

Foto SADA

ALOR SETAR, 20 September- Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang Fasa 1 yang terkesan dengan banjir telah memulakan operasi pada kapasiti penuh sejak pukul 11.30 pagi tadi.

Manakala LRA Jenun Lama yang terkesan akibat kebocoran sistem paip pengepaman utama semalam telah pulih sepenuhnya dan sudah mula beroperasi pada kadar maksimum sejak pukul 2.30 petang tadi.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan rapi dengan lebih kerap di LRA yang terkesan bagi memastikan tiada sebarang masalah berlaku pada sistem pemprosesan air terawat yang boleh mengganggu keseluruhan proses pemulihan gangguan bekalan air. 

"Para pengguna yang terkesan dengan gangguan ini akan menerima bekalan air secara berperingkat bergantung kepada jarak lokasi premis dan tekanan air pada sistem agihan. 

"SADA menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat. SADA komited dalam memastikan gangguan bekalan air ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Semalam, kira-kira 35,000 akaun pengguna di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu mengalami gangguan bekalan air selepas LRA berkenaan tenggelam.

Bagaimanapun SADA terus berusaha mengatasi gangguan bekalan air yang berlaku dengan kadar segera dan sejak semalam syarikat itu telah mengambil inisiatif dengan menempatkan tangki-tangki statik di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terkesan dengan gangguan bekalan air.

Antara PPS terlibat ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong, PPS SK Bukit Hijau Mukim Derang, PPS Maahad Tarbiah Islamiyah Derang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI