
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Tindakan menormalisasikan buli, termasuk menganggap perbuatan ‘ragging’ sebagai proses membentuk jati diri atau ketahanan mental; perlu dihentikan.
- Penggunaan istilah positif untuk ragging mengelirukan pelajar dan membuka ruang kepada buli terus berleluasa.
- Kes buli meningkat berpotensi mengancam nyawa, menyebabkan kecederaan fizikal, trauma emosi dan kecenderungan mencederakan diri.
- Ibu bapa perlu cakna perubahan tingkah laku: pendiam, menjauh, mengurung bilik atau enggan sertai aktiviti keluarga.
Pensyarah Kanan Psikologi Perkembangan (Kanak-Kanak dan Remaja) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata tanggapan sedemikian hanya mengelirukan pelajar sehingga mereka menganggap perlakuan buli sebagai sesuatu yang perlu diterima.
Sekali gus, membuka ruang kepada gejala berkenaan untuk terus berleluasa.
“‘Ragging’ terkenal pada zaman 80-an dan 90-an. Tetapi, kita telah mengubahnya kepada satu istilah yang lebih positif. Contohnya seperti jati diri, ketahanan diri dan harga diri, perkara-perkara seperti itu.
“Sebab itu anak-anak sebenarnya dia keliru. Eh, apa sebenarnya ni? Ini nampak macam buli tapi aku kena hadap juga selama lima tahun sekolah menengah di asrama ini semata-mata nak berkhidmat kepada senior?”
“Sebenarnya kita bukan sekadar mengubah pendekatan. Bila kita dah menormalisasikan buli dalam bentuk yang lebih positif, kita dah menjadi pihak yang membolehkan buli itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita RTM selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Dr Abdul Rahman turut menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli di sekolah yang dilihat berpotensi mengancam nyawa.
Jelasnya, gejala berkenaan tidak lagi hanya meninggalkan kecederaan fizikal dan trauma emosi.
Malah, dalam kes tertentu turut mengakibatkan kehilangan nyawa dan mendorong mangsa mencederakan diri akibat tekanan berpanjangan yang dialami.
Sehubungan itu, beliau berpandangan ibu bapa perlu cakna dengan perubahan tingkah laku anak-anak bagi mengenal pasti petanda sekiranya mereka menjadi mangsa buli.
“Kita boleh nampak anak-anak dibuli, satu perubahan tingkal laku. Itu sangat-sangat ketara sebenarnya tingkah laku contohnya anak itu seorang yang ceria, ramah, aktif. Tiba-tiba berubah menjadi seorang yang pendiam.
“Dia menjauhkan dan mengasingkan diri dengan rakan-rakan. Tidak terlibat dengan aktiviti di sekolah. Itu benda yang penting kita kena lihat.
“Perubahan tingkal laku ataupun kita nampakkan sebuah perubahan yang lebih spesifik. Di rumah. Berkurung di dalam bilik. Tak nak terlibat aktiviti keluarga. Tak nak makan bersama. Itu kita akan nampak,” katanya.