fb fb fb fb fb

Lima sekolah terjejas banjir di Sarawak laksana PdPR

Omar Mahli/RTM

KUCHING, 17 Februari- Lima sekolah di Sarawak yang terjejas banjir baru-baru ini memulakan sesi persekolahan hari ini menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kata Pengarah Pendidikan Negeri, Omar Mahli.

Sekolah terbabit meliputi kawasan Saratok, Dalat, Mukah dan Tatau-Sebauh antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Klid/Plajau, SK Saint Luke Nanga Baoh, SK Kuala Kenyana dan SK Kuala Muput.

"Guru telah menyediakan bahan pembelajaran agar murid tidak ketinggalan. Mereka tidak dapat menjalankan aktiviti seperti biasa pagi ini, namun dengan bahan tersebut, mereka boleh meneruskan pembelajaran.

"Diharapkan dalam tempoh seminggu, kerja pembersihan, pembaikan serta perolehan kerusi dan meja dapat diselesaikan agar sesi persekolahan dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas melawat hari pertama sesi persekolahan di SK Haji Baki Padawan di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan sebuah sekolah di Ulu Kabong tidak dapat beroperasi berikutan jambatan gantung terputus, menyebabkan laluan ke sekolah itu tidak dapat diakses.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada pembaikan kemudahan asas bagi memastikan keselesaan murid apabila sesi persekolahan kembali berlangsung secara fizikal.

Omar menambah, sekolah-sekolah yang terjejas merupakan sekolah kurang murid dengan jumlah kurang daripada 100 orang.

Keadaan banjir di Sarawak pulih sepenuhnya pada Jumaat lalu selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan penduduk terjejas ditutup sepenuhnya.

SITI AISHAH MD ISA