fb fb fb fb fb

Lima nelayan warga asing ditahan, tidak memiliki dokumen sah - MARITIM

Foto FB MARITIM

PASIR PUTEH, 9 Jun- Lima nelayan warga Thailand termasuk tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) Kelantan di Tok Bali Pasir Puteh, pada Sabtu.
 
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soah di dalam satu kenyataan berkata mereka ditahan pada kedudukan 37 batu nautika dari Muara Tok Bali, pukul 1.40 tengah hari.
  
Bot tempatan terbabit dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika penguatkuasa Maritim sedang melaksanakan rondaan di perairan Tok Bali menerusi Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris.
 
"Hasil pemeriksaan mendapati salah seorang kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah."
 
"Kesemua kru berusia antara 36 hingga 55 tahun itu ditahan dan diiringi ke jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel pesalah boleh di denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25(b) akta sama.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM