
KUALA LUMPUR, 6 September – Sebanyak 22 penerbangan Malaysia Airlines dan Batik Air dibatalkan hari ini susulan gangguan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK).
- Malaysia Airlines membatalkan 14 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Jakarta susulan abu dari Gunung Anak Krakatau.
- Penumpang diminta kemas kini butiran hubungan melalui My Booking untuk terima maklumat terkini melalui emel dan SMS.
- Batik Air membatalkan lapan penerbangan; enam antara Kuala Lumpur dan Jakarta, dua melibatkan laluan Subang ke Jakarta.
- Abu vulkanik boleh kurangkan penglihatan, ganggu navigasi dan prestasi enjin; Batik Air tawar penjadualan semula atau bayaran balik.
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan 14 penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Jakarta (CGK) dibatalkan selepas abu gunung berapi dari Anak Krakatau menjejaskan perjalanan udara.
Penerbangan terjejas ialah MH713, MH712, MH711, MH710, MH717, MH716, MH721, MH720, MH723, MH722, MH724, MH725, MH727 dan MH726D.
“Susulan situasi yang tidak menentu, Malaysia Airlines sedang memantau perkembangan semasa dengan teliti.
“Kemas kini selanjutnya mengenai penerbangan yang terjejas akan dimaklumkan secara terus kepada pelanggan terlibat,” menurut kenyataan itu.
Penumpang diingatkan supaya memastikan butiran hubungan mereka dikemas kini menerusi “My Booking” di laman sesawang Malaysia Airlines bagi menerima maklumat terkini melalui e-mel dan SMS.
Pelanggan juga boleh mendapatkan bantuan menerusi sokongan Live Chat di laman sesawang syarikat penerbangan itu atau pusat hubungan globalnya.
Sementara itu, Batik Air dalam kenyataan berasingan memaklumkan lapan penerbangannya melibatkan destinasi sama turut dibatalkan, iaitu OD398, OD399, OD346, OD347, OD388, OD389, OD390 dan OD391.
Enam daripadanya beroperasi antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Jakarta, manakala dua lagi melibatkan laluan Subang-Jakarta.
Menurut Batik Air, keputusan itu dibuat susulan penyelarasan dengan pihak berkuasa penerbangan dan pengendali lapangan terbang dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan penumpang serta kru.
“Abu gunung berapi di ruang udara boleh mengurangkan jarak penglihatan, mengganggu sistem navigasi pesawat dan berpotensi menjejaskan prestasi enjin.
“Batik Air akan terus memantau situasi dan memberikan maklumat terkini mengenai operasi penerbangan ke dan dari destinasi yang terjejas melalui laman sesawang rasmi, saluran media sosial dan maklumat hubungan yang didaftarkan pelanggan,” menurut kenyataan itu.
Pelanggan Batik Air boleh memohon untuk menjadualkan semula perjalanan ke penerbangan seterusnya, tertakluk kepada ketersediaan, atau meminta bayaran balik.