fb fb fb fb fb

Lemang endemik, juadah tradisi istimewa di Aidilfitri

KEMAMAN, 1 Mei- Sambutan Aidilfitri pastinya tidak lengkap tanpa juadah lemang yang sememangnya menjadi juadah turun-temurun dan hidangan utama di seluruh pelusuk negeri.

Sambutan perayaan kali ini cukup bermakna buat peniaga lemang setelah diberikan kelonggaran oleh kerajaan.

Dijenamakan sebagai Lemang Endemik, makanan tradisi itu kini dapat dinikmati semula semenjak negara
dibelenggu COVID-19.

Dek kerana terlalu rindukan aroma beras pulut bercampur santan itu, Aidilfitri kali ini ramai yang tidak melepaskan peluang untuk menempah dan membelinya sebagai juadah istimewa.

Tinjauan RTM di Laluan Pantai Kemaman ke Kuala Terengganu di Kampung Kijal mendapati, jualan lemang diluar dugaan kerana sejak awal bulan Ramadan lagi peniaga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan.

Salah seorang peniaga, Rabiah Ismail atau Kak Ruby 56 tahun, sepanjang 30 tahun berniaga lemang, tempoh negara dilanda pandemik COVID-19 adalah tempoh yang paling mencabar buat peniaga.


(Peniaga lemang, Rabiah Ismail)

Dia kini bersyukur kerana negara beralih ke fasa endemik dan jualan lemang kembali bernafas dan dapat menampung pendapatan keluarga.

"Jualan tu sangat memberangsangkan setakat ni, jika dibandingkan semasa kes COVID-19 yang tinggi dulu. Kira alhamdulillah bila kerajaan buka sempadan dan beri kelonggaran untuk orang boleh balik kampung," katanya.

Salah seorang pelanggan, Fareez Osman berkata walau terdapat banyak deretan gerai lemang di laluan berkenaan tetapi beliau setia memilih lemang hasil air tangan Kak Ruby.

"Lemang dia memang 'special' rasanya, lagi pun kebetukan kita ada kerja di sini, kita
datang dari KL jadi sebelum balik kita memang akan singgah beli dan memang dah biasa beli di sini," kata Fareez.


(Fareez Osman)

Untuk para perantau yang pulang beraya, anda boleh singgah di laluan berkenaan bagi merasai lemang endemik dan juga menjadikannya juadah sempena lebaran ini.

Media Baharu