fb fb fb fb fb

Lelaki Indonesia maut tertimbus tanah runtuh di Kuala Lipis

Foto Bomba Lipis

LIPIS, 11 Disember- Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas tertimbus tanah runtuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) di Kampung Berembang, Kuala Lipis, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata mangsa, Khairul Anam berusia 28 tahun merupakan buruh di tapak projek berkenaan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kami menerima laporan pada pukul 11.11 pagi tadi.

"Lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis serta dua jentera dikerahkan ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

"Ketika JBPM tiba di lokasi, mayat mangsa telah dikeluarkan dengan bantuan rakan sekerjanya menggunakan jengkaut.

"JBPM telah melakukan pemeriksaan di kawasan kejadian bagi memastikan lokasi tersebut selamat sebelum operasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," kata Zulfadli menerusi kenyataan di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM